Friday, September 27, 2019

Tourism Malaysia Anjur Program Lawatan Media Ke Labuan


TOURISM MALAYSIA ANJUR PROGRAM LAWATAN MEDIA KE WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN SEMPENA DENGAN KEMPEN VM2020

LABUAN, 27 SEPTEMBER 2019 – Seramai 11 penggiat media sosial dari Semenanjung Malaysia dan 4 penggiat media sosial dari Sabah akan menyertai program lawatan media yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia ke Wilayah Persekutuan Labuan bersempena dengan sambutan Pesta Kebudayaan Borneo 2019 yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 September 2019.Pesta ini merupakan acara tahunan yang menghimpunkan hampir kesemua elemen seni dan budaya yang terdapat di kepulauan Borneo seperti Pertandingan Mukun, Pertandingan Tarian Kreatif dan Pameran Catan Batik.

Lawatan ini adalah hasil kerjasama Tourism Malaysia dengan Perbadanan Labuan, Malaysia Airlines dan MASwings yangbertujuan untuk memperkenalkan produk-produk pelancongan WP Labuan dalam usaha mempromosikan destinasi pelancongan negeri ini sempena kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020) selain berpeluang bersuai kenal, bertukar-tukar pandangan dan seterusnya mengeratkan hubungan kerjasama antara penggiat media sosial dengan sektor kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan industri pelancongan. 

Sepanjang lawatan ini para peserta akan dibawa ke pelbagai tempat pelancongan menarik seperti melihat kehidupan warga kampung air di Homestay Kampung Air Patau-Patau 2, menghayati kekayaan sejarah Labuan dengan mengunjungi Muzium Labuan dan Taman Damai, serta menikmati keindahan Pantai Pancur Hitam, Batu Manikar dan Layang-Layangan yang telah memenangi anugerah pantai bersih COBSEA dari UNESCO pada tahun 2008.

Para peserta juga akan dibawa ke Labuan Marina untuk menaiki bot ke Pulau Rusukan Besar yang digelar sebagai “Untouched Wonderland dan berpeluang untuk melakukan aktiviti snorkel dan bersiar di sekitar pulau yang tidak berpenghuni itu. Antara tempat lain yang akan dikunjungi adalah kawasan bersejarah Gedung Ubat yang dipercayai telah digunakan oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia ke-2 sebagai tempat penyimpanan barangan artileri dan Taman Burung Labuan yang menempatkan pelbagai spesies burung-burung Borneo termasuk burung enggang.

Program lawatan ini akan memberi pendedahan kepada peserta berkenaan produk yang berasaskan Community Based Tourism(CBT) dengan lebih dekat lagi dengan berkunjung ke perusahaan bilis di Salinang Maju Enterprise, Kg. Bebuloh Laut dan perusahaan minyak kelapa dara di Pomosuon Piasau Enterprise, Bukit Kuda. 

Melalui program ini, Tourism Malaysia berharap agar pihak media akan berkongsi pengalaman menyertai program lawatan ini kepada para pembaca dan pengikut mereka sekaligus mempromosikan kecantikan dan keunikan Wilayah Labuan.

Sebagai pautan yang memudahkan orang ramai yang ingin melihat pengalaman melawat Labuan, bolehlah mengikuti tanda pagar #VM2020#VisitMalaysia2020#TourismMalaysia#MalaysiaTrulyAsia#CutiCutiMalaysia, #BorneoArtsFestival#MyLabuanStory#LabuanTourism, #MalaysiaAirlines,#MalaysianHospitality dan #MASwingsmates.

TAMAT           

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Nor Hidayah Mohd Nor (Cik)
Pegawai Pelancongan

Muadz Samat (En.)
Penolong PengarahBahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8755

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA
(KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA MALAYSIA)
Pusat Penerangan Pelancongan Labuan,
Lot 4260, Jalan Dewan/Jalan Berjaya, 87007 WP Labuan
Tel : +6087-423 445  Fax : +6087-423 446



No comments:

Post a Comment